TAUFIQ : KISAH AUTISTIK (BAHAGIAN 1)




Kalau  hendak bercerita tentang Taufiq, sejujurnya, aku bukanlah orang yang paling layak untuk menceritakan susah payah, jerih lelah, suka duka sepanjang 11 tahun ini.
Ketahuilah, ini hanyalah pengalaman aku selama 11 tahun, yang bukan sebagai bapa, yang bukan sebagai emak. Hanya sekadar seorang kakak, yang tahu menulis, tahu berbicara tentang autistik namun di dunia realiti, aku ini tiada kuasa.
Ingin aku sampaikan sebagai seorang kakak, apa yang Taufiq sering lalui, apa yang kami sekeluarga lalui, apa yang orang di sekeliling kami lalui.
Biar satu dunia tahu. Biar satu dunia peka. Biar satu dunia kisah.
Bahawa mereka ini, insan istimewa, yang memerlukan kasih sayang dari kita. Mereka ini, insan istimewa, yang memerlukan pertolongan dari kita. Bahawa mereka ini, insan istimewa, yang moga di syurga nanti, menjadi penolong kita. Bahawa mereka ini, insan istimewa, yang moganya menjadi asbab terselamatnya kita dari neraka. Bahawa mereka ini, insan istimewa, menjadi punca kita dapat merasa indahnya syurga.
Aku anak sulung dari lima adik beradik. Kemudian, dua tahun kemudian, lahir anak yang kedua (Hasnol). Kemudian, tahun 1997, Atikah pula lahir. Syifa, menyusul pada tahun 2000 dan akhir sekali, Taufiq, pada tahun 2006.
11 tahun yang lalu, mak lahirkan Taufiq pada usia 37 tahun. Agak lewat dari segi umur menurut doktor namun disebabkan sepanjang kehamilan, tiada komplikasi, kehamilan diteruskan.
Taufiq dilahirkan dengan cara pembedahan Caesareans, di Hospital Bersalin Pulau Pinang. Agak besar sewaktu lahirnya, 4.5kg. Padahal sewaktu di’scan’ awalnya, doktor hanya mengatakan mungkin beratnya dalam 3.5kg sahaja.
Setelah dilahirkan, disebabkan mak terpaksa dibedah, secara automatik, aku mengambil tempat untuk menjaga Taufiq. Dan masa yang sama, menjaga hal ehwal kerja rumah.
Tapi hanya sekejap. Sehingga Januari sahaja, disebabkan aku bersekolah asrama dan perlu pulang ke sekolah.
Perkembangan Taufiq dari bayi sehingga setahun, ada nampak masalah tapi perasaan tidak sedap hati diletak tepi.
Dia lambat duduk, lambat berdiri, berbanding dengan adik beradik yang lain, menurut mak. Pada usia setahun lebih, dia sudah boleh bercakap, seperti ayat ‘ayah dah balik’. Tapi, kemudiannya, ayat itu semakin hilang dan tidak lagi boleh bertutur dalam bahasa yang difahami.
Pada usia 5 tahun, dia masih belum boleh bercakap. Mak cuba untuk meminta nasihat dari pakar tapi di 'sedapkan’ hati bahawa ada juga sanak saudara yang lambat bercakap.
Ketika itu, perihal autism masih lagi menjadi benda yang asing bagi kami.
Taufiq agak hyper sewaktu kecil. Susah hendak duduk diam. Susah untuk fokus.Jika orang tanyakan, kami sekadar menjawab,
“Haah, dia memang hyper sikit.”
Bagaimana kami mendapat tahu bahawa Taufiq ada autism?
Pada usia 6 tahun, Taufiq ada masalah sembelit yang teruk. Sehingga terpaksa admit ke wad. Waktu itu, hari raya. Hospital menjadi rumah kedua untuk seminggu itu.
Bila doktor mula buat pemeriksaan, doktor mengatakan ada sesuatu pada Taufiq ini. Dan setelah diperiksa, doktor akhirnya mengeluarkan surat yang mengesahkan Taufiq seorang yang autistik.
Berat. Payah. In denial.
Ini ayat yang boleh aku ceritakan apa yang aku rasa. Kami tidak tahu langsung tentang apa itu autism dan kami diuji dengan salah seorang dari kami disahkan untuk ada autism.
Apa yang patut kami lakukan? Siapa yang patut kami jadikan sebagai rujukan.
Tiada.
Aku sendiri berada dalam keadaan denial selama dua tahun. DUA TAHUN. 730 hari. Apa yang dalam fikiran aku ialah, apa yang patut aku buat? Masa depan bagaimana?
Susulan dari pengesahan dari doktor, langkah pertama yang mak buat ialah, daftarkan Taufiq di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kemudian, carikan sekolah yang boleh terima Taufiq.
Dan kami temukan PDK Kulim. Saat itu, banyak benda yang kami belajar. Rupanya kami tidak keseorangan. Ramai lagi yang senasib dengan kami.
Setelah itu, carikan tempat terapi. Pertama nya, hospital. Alhamdulillah, ada terapi cara kerja di Hospital Kulim.
Dan kerja aku sebagai pembantu audit pada ketika itu, menemukan aku dengan sebuah terapi swasta di Penang. Kami daftarkan Taufiq di situ pada usia 9 tahun.
Lambat. Tapi biar ada tindakan.
Jika melihat pada perkembangan Taufiq sekarang, tiada siapa sangka dia akan pergi, melangkah sejauh ini. Tiada siapa sangka yang kanak-kanak yang dirasakan tiada masa depan ini, sudah pandai menguruskan dirinya dengan baik.
Alhamdulillah, segala pujian, aku kembalikan pada Allah.
Penerimaan keluarga terdekat dan masyarakat sekeliling, pelbagai. Ada yang terkejut. Ada yang menyisih. Ada yang menunding jari, ini salah siapa siapa. Ada yang mencemuh. Ada yang berikan sokongan.
Pelbagai.
Dalam segala penerimaan, yang paling terkesan ialah bagaimana mak sering ingatkan kami tentang masa depan.
Katanya, carilah jodoh yang sudi terima Taufiq, sebagaimana kami menerima Taufiq. Carilah jodoh yang sudi menjaga Taufiq, sebagaimana kami menjaga Taufiq.
Katakan pada jodoh, bakal adik iparnya ialah seorang yang kurang sempurna di dunia namun bakal menjadi penyelamat di akhirat kelak. Katakan pada jodoh, seandainya mak ayah sudah tiada, dialah yang bakal menggalas tugas sebagai penjaga Taufiq.
Sengaja aku tulis, berkongsi kisah ini. Sebagai titipan buat mereka, yang mungkin masih dalam denial, yang mungkin masih belum menerima dengan sepenuh hati keadaan anak mereka, yang mungkin masih tertanya bagaimana masa depan anak mereka nanti.
Wahai ibu bapa, jika masyarakat masih ragu-ragu untuk menerima keadaan mereka, adakah kita, yang sebagai ibu bapa ini masih ingin menolak mereka? Siapa yang akan sayangi mereka ini, jika bukan kita? Jika bukan anda?
Tidak mereka minta dan pinta untuk dilahirkan begitu. Tidak mereka tahu mereka bakal menerima layanan sebegini di dunia ini.
Terpilih untuk menjadi bapa, ibu, kakak, abang dan adik kepada mereka yang istimewa ini, datang dengan dugaan yang berat, datang dengan cabaran yang tidak terduga.
Benar. Betul.
Tapi ingatlah.
Sabar. Sabar. Dan terus bersabar.
Sentiasa ingat, Allah janjikan syurga buat mereka yang sabar di akhirat kelak. Kita ini tergolong dalam golongan ahlul musibah. Manusia yang ditimpa dengan kesusahan, ditimpa dengan ujian, ditimpa dengan cabaran sewaktu di dunia.
Saat di akhirat, Allah akan hisab ahlul musibah ini terlebih dahulu. Allah katakan, cukup-cukuplah ujian buat hamba ini ketika di dunia. Jangan ditambahkan lagi ujian di akhirat.
Pada waktu malam, sewaktu anak sedang tidur, bisikkan pada telinga mereka. Katakan, di akhirat nanti, pegang dan tariklah ahli keluarga yang bersabar dengan kerenah kamu ketika di dunia.
Jadikan sabar kami ini sebagai tiket untuk kami merasa hebat, manis dan indahnya syurga. Jadikan sabar kami ini sebagai asbab untuk kami melangkah ke syurga. Jadikan sabar kami ini sebagai punca untuk kami membina istana di jannah.
Insya Allah, semoga Allah terus memberkati segala usaha kita di dunia dan memberi ganjaran di akhirat kelak.


Share this article:

2 comments:

  1. Nice sharing dayah..moga Allah mudahkan urusan dayah sekeluarga jaga taufik

    ReplyDelete